Monday, September 27, 2010

tarian tradisional di malaysia


Kepelbagaian warisan budaya dan kaum di Malaysia paling ketara dilihat pada jenis-jenis tarian yang terdapat di sini. Tarian kaum Melayu, Orang Asli serta beberapa suku kaum penduduk di Sabah dan Sarawak benar-benar eksotik dan menawan. Setelah sekian lama kaum Cina, India dan Portugis menetap di Malaysia, tarian-tarian tradisi negara asal mereka juga menjadi sebahagian daripada warisan dan budaya Malaysia. Terdapat pelbagai jenis tarian seperti ;

Mak Yong Melayu

Tarian Mak Yong yang berasal dari Patani di selatan Thailand dicipta untuk hiburan kerabat Diraja wanita, permaisuri serta puteri sewaktu ketiadaan kerabat Diraja lelaki. Tarian ini menggabungkan drama romantis, serta tarian dan nyanyian tradisional dengan gaya yang menawan, yang mengisahkan zaman kegemilangan Kesultanan Melayu. Drama tari Mak Yong ini juga merupakan sebagai suatu bentuk drama-tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Drama-tari ini dipertontonkan terutamanya di Terengganu , Patani, Kelantan, Kedah, Perlis serta di Kepulauan Riau - Indonesia.

Mak Yong dipersembahkan sebagai hiburan dan juga sebagai cara perubatan. Mak Yong dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dipentaskan sebagai pementasan Diraja di bawah naungan Kesultanan Kelantan sehingga 1920-an. Dengan itu, tradisi ini dikekalkan dalam bentuk asal tanpa meninggalkan peningkatan yang terdapat di istana seperti pakaian yang berhias cantik.

Persembahan Mak Yong biasanya dibuka dengan lagu "Mengadap Rebab" diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik. Setiap satu cerita mampu dipersembahkan merentasi beberapa amalam dalam siri pertunjukkan tiga jam. Dalam persembahan tradisi di kampung, ia dilakukan dipanggung terbuka yang berlatarkan daun kelapa. Penonton akan duduk di tiga sisi panggung, sisi yang ke empat dikhaskan bagi orkestra yang terdiri dari pemain rebab, gendang kepala dua dan tetawak. Kebanyakan peranan dilakukan oleh wanita dan ceritanya berasaskan cerita rakyat tradisi dengan watak raja, dewa dan pelawak. Mak Yong di kaitkan dengan upacara di mana pawang cuba menyembuhkan pesakit yang dirasuk melalui nyanyian, tarian bersawai dan menurun.

Kuda Kepang

Tarian Kuda Kepang dibawa ke Negeri Johor oleh pendatang dari Jawa. Para penari menggunakan kuda kepang untuk menggambarkan kisah kejayaan perjuangan suci Islam, diiringi paluan gendang, gong dan angklung. Di negeri Johor, dan biasa dimainkan di majlis perkahwinan atau di majlis keramaian. Permainan kuda kepang memerlukan sekurang-kurangnya 25 orang seperti 9 orang penari, 5 orang pemain muzik, 2 orang yang bertindak sebagai 'Bomoh Pemulih', 9-15 orang penjaga kawasan . Peralatan permainan kuda kepang pula terdiri daripada lima buah angklung, sebuah gendang, beberapa gong, sekurang-kurangnya sembilan kuda, sebatang pecut, serantai tali sepanjang 100 kaki (30 meter).

Kuda kepang biasanya dipersembahkan di tempat terbuka atau di atas pentas yang besar. Sebelum tarian bermula, Tok Bomoh akan membakar kemenyan dan membaca jampi untuk memberikan tenaga kepada kuda-kuda. Beliau menggunakan telur mentah, bunga, rumput, dan air untuk persembahan.

Dikawali oleh seorang "danyang" yang melecutkan pecut untuk menentukan rentak tarian, setiap penari akan naik ke atas kuda masing-masing. Apabila muzik mula bergema, penari-penari yang dipimpin oleh "danyang" itu masuk ke gelanggang. Rentak muzik bermula dengan perlahan dan agak membosankan. Setiap penari akan menunggang dan memacu kuda menurut pola yang ditentukan oleh rentak dan irama lagu itu.

Ketika muzik menjadi lebih pantas, kuda-kuda akan menderap dengan lebih laju. Kekadang pihak penganjur akan merentang kain licik untuk pemain menitinya. Penari-penari boleh melakukan pergerakan yang aneh dan luar biasa seperti bersilat melompat-lompat setinggi enam kaki dan sebagainya. Semasa penari dalam keadaan sedemikian, bunyi-bunyian yang mengiringi tarian ini akan bertambah rancak. Kononnya jika alunan muzik tidak rancak, penari-penari akan akan menerkam atau menendang pemain muzik seakan-akan kuda yang sedang berang.

Penari-penari menari selama dua jam sehingga mengalami keadaan bersawai, terpukau dengan kehebatan pergerakan-pergerakan mereka. Ketika mabuk, mereka kekadang akan bermimpi menunggang kuda yang benar sambil menari-nari dengan iringan muzik. Disebabkan itu, mereka mencuba mengejar muzik itu. Keadaan ini dipanggil "naik syeh". Jika keadaan bertambah liar dan tidak dapat dikawali, Tok Bomoh akan mengarahkan pengawal-pengawal yang ditempatkan di setiap sudut gelanggang untuk menangkap dan merebahkan mereka ke tanah, dan seterusnya Tok Bomoh akan membaca jampi untuk memulihkan mereka.

Dalam tarian kuda kepang tersebut mempunyai pantangnya tersendiri. Kumpulan pemain kuda kepang diperlukan menyerahkan pengeras kepada Tok Bomoh untuk persembahan. Pengeras ini terdiri daripada kemenyan, air mentah, nasi campur dengan lauk ayam dan sayur, serta beberapa jenis kuih. Selain itu, kumpulan pemain juga dikehendaki menyerahkan wang sebanyak RM2.25 kepada tuan rumah atau penganjur untuk Tok Bomoh persembahan. Kumpulan pemain mengenakan bayaran yang tidak kurang dari RM200 untuk setiap persembahan.

Sebagai pantang larangan dalam permainan kuda kepang, pemain-pemain tidak boleh diacah semasa dalam permainan atau ketika sedang mabuk kerana ditakuti akan melarat dan menjadikan keadaan tidak terkawal. Pemain-pemain juga tidak boleh melihat kain merah kerana ini merupakan pantang larangan semulajadi. Selain itu, pemain-pemain juga tidak boleh terlihat kaca kerana takut bahawa mereka akan makan kaca itu.

Zapin

Pengaruh Islam ke atas tarian tradisional Malaysia boleh dilihat dengan ketara dalam tarian Zapin, sebuah tarian yang terkenal di negeri Johor. Tarian ini, yang diperkenalkan oleh para mubaligh dari Timur Tengah, pada mulanya digunakan dalam amalan berzikir yang bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah tamadun Islam.

Mengikut sejarah tarian Zapin, pada mulanya tarian ini adalah sebagai tarian hiburan di istana setelah dibawa dari Hadramaut, Yaman oleh para pedagang Arab pada awal abad ke-16. Pada masa itu negeri Johor menjadi pengganti kepada peranan Melaka sebagai sebuah entrepot antarabangsa pada kurun ke-16.
Tarian zapin ini kemudiannya merebak ke negeri-negeri sekitar Johor seperti di Riau, iaitu pusat pemerintahan Johor lama, Singapura, wilayah Sarawak, dan Brunei Darussalam.

Tarian ini diilhamkan oleh peranakan Arab dan dikatakan berasal dari Yaman. Tarian zapin telah menular luas di kalangan penggemar seni tari di Nusantara iaitu di Semanjung Tanah Melayu, Borneo dan gugusan pulau yang sebanding yang mana bergiat aktif dari dulu hingga kini seperti di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia. Zapin telah mengalami pengubahsuaian dari segi bentuk dan ragamnya yang ternyata lebih tradisional sifatnya. Dengan itu tarian Zapin biasanya mempunyai pecahan tersendiri menurut tempat ia ditarikan, antaranya ialah Tarian Zapin Arab, Tarian Zapin Johor, Tarian Zapin Lenga, Tarian Zapin Pekan, Tarian Zapin Tenglu .

Tarian Zapin mementingkan pergerakan berkumpulan dan bukannya usaha individu. Antara peralatan muzik yang mengiringi tarian Zapin adalah gambus, rebana, gendang, rebab dan marakas. Biola tidak tergolong sebagai sejenis alat muzik tarian Zapin namun terdapat anggapan salah dalam kalangan rakyat. Ini disebabkan muzik yang dihasilkan rebab mempunyai persamaan dengan gesekan biola.

Joget 

Tarian Joget merupakan sejenis tarian Melayu tradisional. Tarian ini dipengaruhi oleh kebudayaan Portugis iaitu Branyo, satu cabang daripada tarian Coridinho. Joget telah dijadikan sebagai tarian sosial serta diterima oleh berbagai-bagai kaum di Malaysia. Ia juga biasanya ditarikan secara berpasangan lelaki dan wanita.
Pada masa kini terdapat pelbagai jenis lagu-lagu yang dihasilkan seperti Joget Serampang Laut, Joget 106, Joget Johore Sport Club dan lain-lain. Joget juga popular ditarikan secara beramai-ramai dalam pesta keramaian dan dikenali sebagai joget lambak.Tarian yang paling terkenal di Malaysia ini adalah sebuah tarian yang meriah, dengan rentak yang agak laju. Tarian ini, yang dipersembahkan oleh pasangan penari dengan gerak-geri pantas yang disulami pelbagai usikan, berasal dari tarian tradisi Portugis yang diperkenalkan di Melaka sewaktu era perdagangan rempah di situ. Di Melaka tarian ini lebih dikenali sebagai Chakunchak.

Tarian Lilin

Sebuah tarian yang dipersembahkan oleh penari wanita sambil menatang lilin di dalam piring kecil di atas telapak tangan mereka, dan memaparkan gerak-geri yang penuh dengan kelembutan. Tarian Lilin pada asasnya merupakan sebuah tarian yang dipersembahkan oleh sekumpulan penari dengan diiringi sekumpulan pemuzik. Para penari ini akan membawa lilin yang dinyalakan pada piring yang dipegang pada setiap belah tangan mereka. Penari ini akan menarikan tarian secara berkumpulan dengan memusingkan piring yang mempunyai lilin yang menyala secara berhati-hati agar piring tersebut sentiasa mendatar, dan lilin tidak terpadam.
Menyentuh soal asal usul Tarian Lilin, ia dipercayai berasal dari Sumatera.  Mengikut cerita, kononnya seorang gadis telah ditinggalkan oleh tunang yang pergi berdagang mencari harta.  Semasa ditinggalkan tunangnya itu gadis secara tidak sengaja kehilangan cincin pertunangan.
Gadis itu mencari-cari cincin hingga larut malam dengan menggunakan lilin yang diletakkan pada piring.  Gerakan badan yang meliuk lintuk, membongkok, terngadah (berdoa) melahirkan keindahan sehingga peristiwa ini melahirkan Tarian Lilin di kalangan gadis kampung.

Tarian Lilin adalah sejenis kesenian istana dan digayakan pada waktu malam bagi menimbulkan nyalaan lilin berkenaan.  Ini kerana tarian lilin memerlukan penarinya giat berlatih agar dapat mengawal pergerakan dengan lilin yang menyala tanpa berlaku kemalangan.

Kini, tarian ini sering dipersembahkan pada majlis kerajaan dan acara rasmi, malah lebih indah dan berkesan lagi jika ia dipersembahkan pada waktu malam.

Tarian Singa

Tarian Singa atau dalam bahasa cina ialah pinyin:wushi  adalah sebahagian daripada tarian tradisional dalam adat warisan masyarakat Cina, yang mana penari akan meniru pergerakan singa dengan menggunakan kostum singa. Kostum singa itu dimainkan oleh dua penari iaitu seorang memainkan di bahagian hadapan dengan menggerakan kepala kostum, manakala pasangan penari akan memainkan bahagian belakang kostum singa tersebut. Kedua-dua penari itu akan bergerak seakan-akan singa di atas pentas yang disediakan. Tarian singa ini akan diiringi oleh gong, dram, dan dentuman mercun yang dikatakan akan membawa tuah. Tarian ini, yang lazimnya dipersembahkan ketika perayaan hari Tahun Baru Cina, adalah merupakan persembahan yang penuh bertenaga dan menghiburkan. Menurut lagenda, singa adalah satu-satunya haiwan yang boleh menghalang Nian – sejenis haiwan dongeng yang selalu menyerang negara China dan mengorbankan manusia pada hari sebelum Tahun Baru Cina. Tarian naga adalah sebuah tarian bersemangat yang sentiasa diiringi paluan gendang tagu Cina, dan simbal, serta memerlukan keberanian dan penataan gerak tarian yang tepat diantara penari-penarinya.

Sejarah singa dianggap sebagai pelindung dalam kebanyakan adat orang Asia, terutamanya bagi mereka yang berketurunan orang Cina. Tarian singa menjadi adat di negara China, Taiwan, Jepun, Korea, Thailand, dan Vietnam. Setiap negara tersebut mempunyai corak dan bentuk tarian yang berbeza. Namun tarian ini lebih terkenal sebagai warisan orang Cina, kerana dikatakan sejarahnya bermula lebih 1,000 tahun lalu. Dua tarian singa yang amat popular ialah "Tarian Singa Utara" dan "Tarian Singa Selatan".

Tarian Singa Utara adalah berasal dari bahagian utara China yang menggunakan tarian ini sebagai hiburan diraja. Kostum singa mereka menggunakan warna merah, jingga dan kuning (hijau bagi kostum singa betina). Tarian Singa Utara adalah lebih banyak pergerakan akrobatik dan bertujuan sebagai hiburan.

Tarian Singa Selatan lebih membawa perlambangan alam sekitar. Tarian ini selalu dipersembahkan sebagai istiadat upacara membuang semangat jahat dan upacara meminta tuah. Tarian Singa Selatan menggunakan pelbagai warna dan kepala kostum mempunyai mata yang lebih besar daripada Singa Utara, dan mempunyai cermin serta sebatang tanduk di hadapan kepalanya.

Tarian Naga

Naga adalah sejenis haiwan dongeng yang melambangkan kuasa luarbiasa, kebaikan, kesuburan, kewaspadaan serta kehormatan dalam budaya Cina. Tarian Naga lazimnya dipersembahkan ketika sambutan Tahun Baru Cina, dan dipercayai membawa tuah dan kekayaan bagi tahun yang baru. Tarian ini selalunya memerlukan seramai 60 orang bagi mempertunjukkan persembahan yang penuh kepakaran, keanggunan serta penataan gerak tarian yang tepat.
Tarian naga (Cina Tradisional: 舞龍, Cina Ringkas: , pinyin: wǔ lóng) ialah sebentuk tarian dan persembahan tradisional dalam budaya Cina. Sepertilah tarian singa, tarian naga sering dipersembahkan pada musim perayaan. Orang Cina selalu menyebut "Keturunan Naga" (Cina Tradisional: 龍的傳人, Cina Ringkas: 龙的传人, pinyin: lóng de chuán rén) sebagai lambang identiti etnik.

Pada fikiran orang Cina, naga adalah sejenis hidupan yang menguntungkan. Naga mewakili kekuatan yang tiada bandingan yang boleh menghilangkan nasib buruk dan mencegah jenayah. Oleh sebab itu, sejak zaman nenek moyang semasa mereka merayakan Tahun Baru Cina, atau memimpin prosesi untuk menyambut seorang dewa, bahkan ketika ada bencana alam atau bencana peribadi berlaku, mereka akan mengadakan tarian naga untuk berdoa supaya mendapat berkat dari syurga.

Dalam tarian ini, sepasukan orang Cina memegang sebatang "naga" iaitu imej naga Cina dengan tiang. Penari-penari hadapan mengangkat, mencelup, membidas, dan menyapu kepala naga, yang boleh memiliki ciri-ciri animasi yang dikawal oleh seorang penari dan kadang-kala dikawal untuk mengeluarkan asap dari alat-alat piroteknik. Pasukan tarian meniru apa yang dipercayai sebagai gerakan semangat sungai ini secara berbelok-belok dan beralun-alun.Gerakan-gerakan dalam persembahan ini secara tradisinya melambangkan peranan-peranan naga yang menunjukkan kuasa dan maruah. Tarian naga ialah satu acara utama sambutan Tahun Baru Cina.

Tung Chung Shu, seorang ilmuwan terkenal pada tahun-tahun awal Dinasti Han Barat, menulis sebuah buku "Ch'un-Ch'iu Fan-lu". Di dalam buku itu terdapat maklumat tentang tarian hujan selama musim semi kekeringan. Tarian itu menglibatkan sejumlah besar daripada anak laki-laki, pemuda, laki-laki setengah baya, duda dan orang tua. Setelah tiga hari mengikhlaskan pantang, Warna kostum naga menutupi mereka, dan menghadap ke empat arah, mereka menari-nari dan berdoa kepada Tuhan. Menurut falsafah lima elemen (logam, kayu, air, api dan tanah) popular selama Dinasti Han, banyak objek yang berpadanan dengan ekspresi daripada lima elemen. Untuk alasan ini, dansa naga datang dalam lima warna: hijau, merah, kuning, putih dan hitam. Yang membezakan naga dengan lima warna ialah tradisi rakyat pada tahun-tahun awal dinasti Han. Bagaimanapun, pada hari ini kita hanya dapat melihat naga emas dan naga hijau.

Sekarang, sebagai hasil daripada usaha-usaha orang Cina di luar negeri China bagi mengekalkan dan mempromosikan budaya tarian naga, persembahan ini telah menjadi terkenal di seluruh dunia. Dalam masa beberapa dekad, oleh sebab kombinasi daripada rakyat popularisasi adat dan promosi oleh tentera korps hiburan, tarian naga telah menjadi persembahan secara terbuka yang penting bagi kumpulan persembahan tradisional yang disajikan dalam sambutan Tahun Baru Cina.

India Bharata Natyam

Tarian klasik India ini bagaikan sebuah puisi dalam gerak tari. Tarian yang dramatik dan bersemangat ini berdasarkan kisah epik India purba, dan memaparkan lebih dari 100 gerak tarian dan gaya badan. Memandangkan tarian ini memakan masa yang lama untuk dikuasai, terdapat sesetengah penari kanak-kanak yang mula berlatih pada umur semuda lima tahun.

Tarian Bharata Natyam merupakan salah satu gaya tarian klassik India. Tarian klasik Bharata Natyam merupakan salah satu tarian yang penuh dengan tradisi, yang mana untuk menguasainya perlu mengambil masa bertahun-tahun kerana terdapat pelbagai gerakan tangan, kaki dan mata yang harus dipelajari demi untuk mempersembahkan tarian warisan lama yang dihormati ini secara lengkap, penuh dengan kegemilangan.
Tarian ini berasal daripada wilayah Tamil Naidu di bahagian Selatan India. Secara tradisionalnya, tarian ini di persembahkan secara solo oleh seorang penari wanita.

Suatu persembahan yang lengkap dalam tarian ini merangkumi enam peringkat di kenali sebagai Alarippu, Jatiswaram, Sabdam, Varnam, Padam dan Thillana. Peringkat-peringkat ini menggabungkan elemen Nritta atau tarian tulen dan Nritya ( Tarian Ekspressi ).

Megikut latar belakang dan sejarah tarian ini, Tarian Bharata Natyam berasal daripada wilayah Tamil Naidu di bahagian Selatan India dan dikenali sebagai tarian kebangsaan India. Ini adalah bentuk tarian abad ke-20 rekonstruksi Cathir, seni penari-penari di candi. Cathir pula, merupakan turunan dari bentuk-bentuk tarian zaman dahulu. Tarian ini merupakan gaya tarian klasik India yang paling banyak diamalkan di Selatan India. Bharata Natyam sebagai bentuk tari dan muzik Carnatic menetapkannya dalam Bhakti. Bharata Natyam dikatakan merupakan perwujudan muzik dalam bentuk visual, upacara, dan sesuatu tindakan ketaatan. Tarian Bharata Natyam dan muzik Carnatic tidak dapat dipisahkan dalam sesuatu persembahan. Ia adalah salah satu dari lima gaya besar yang merangkumi Odissi iaitu unsur air, dan Mohiniattam iaitu unsur udara. Gerakan penari Bharata Natyam yang asli menyerupai gerakan api.

Bharata Natyam merupakan manifestasi daripada idea dahulu kala iaitu perayaan alam semesta yang kekal melalui perayaan dari keindahan tubuh manusia. Beberapa teknik dalam Bharata Natyam boleh dikesan balik pada gaya Kaisiki. Semasa zaman pertengahan, raja-raja setempat sering mengundang penari-penari di candi iaitu devadasi untuk menari di istana, peristiwa ini melahirkan penari-penari kategori baru iaitu rajanarthakis. Seorang devadasi harus memenuhi jiwa sendiri semasa menari dan berserah kepada Tuhan, tetapi rajanarthaki menari untuk tujuan hiburan semata-mata. Walaupun sebahagian besar penari Bharata Natyam pada masa itu adalah menari untuk tujuan hiburan, namum begitu, tarian gaya Natya Shastra adalah tarian suci dalam upacara Hindu untuk meninggikan rohani para penonton. Bharata Natyam adalah tarian yang dipersembahkan secara solo dengan dua aspek, pertama ialah lasya iaitu wanita yang lemah lembut, dan kedua ialah tandava iaitu aspek maskulin, yang sama konsep dengan Yin dan Yang di budaya Cina. Kejatuhan kerajaan Hindu di selatan menandakan kehilangan tarian gaya Natya Shastra. Tarian yang suci ini telah hilang ditelan zaman.

E. Krishna Iyer adalah salah satu orang yang menaikkan status sosial Bharata Natyam dan mempopularkannya. Rukmini Devi Arundale pula menarik perhatian Barat pada Bharata Natyam. Setelah belajar Bharata Natyam selama tiga tahun, pada tahun 1936 Rukmini Devi Arundale mendirikan sekolah Kalakshetra luar kota Madras untuk mengajar dan untuk mempromosikan muzik dan seni India. Dia salah satu guru yang pertama memberi arahan kepada beberapa orang lelaki untuk mempersembahkan tarian Bharata Natyam. Pada waktu itu, tarian ini secara khususnya dilakukan oleh perempuan, sedangkan lelaki, disebut Nattuvanars, hanya pernah mengajar Bharata Natyam tanpa benar-benar melakukannya.

Bhangra

Banghra memaparkan tarian serta muzik masyarakat Sikh. Pada mulanya Banghra adalah sebuah tarian menyambut musim menuai, tetapi kini ianya memainkan peranan dalam pelbagai sambutan kemasyarakatan termasuk majlis perkahwinan dan sambutan Tahun Baru. Tarian ini lazimnya adalah berdasarkan tema-tema romantis, di mana nyanyian serta tarian yang diiringi paluan dholo, iaitu sejenis gendang bermuka dua, menjadikan tarian Banghra sangat menghiburkan. Penari Bhangra biasanya terdiri daripada kalangan lelaki dan wanita dengan pakaian pelbagai warna yang cerah. Lagu yang dinyanyikan untuk tarian ini adalah gabungan lagu asli dengan diiringi peralatan muzik tradisional seperti tholl (drum), harmonika, tamborin dan klapper muzik. Tarian Bhangra seringkali di persembahkan pada majlis seperti perkahwinan, harijadi dan perayaan kekeluargaan. Boleh ditarikan oleh sesiapa sahaja kerana bukan bercorak keagamaan.

Ngajat

Ngajat adalah sejenis tarian pahlawan tradisional suku kaum Iban di Sarawak. Tarian ini lazimnya dipersembahkan ketika perayaan Gawai Kenyalang. Pada masa dahulu, pemburu kepala dari suku kaum ini, yang dikatakan antara yang paling bengis di Sarawak, diraikan dengan perayaan Gawai Kenyalang. Pahlawan lelaki mempertunjukkan pergerakan yang tangkas di sepanjang persembahan tarian ini, sambil memakai topi tradisional yang panjang dan memegang sebuah perisai panjang yang berukir.

Tarian Ngajat terdiri daripada beberapa jenis, antaranya ialah Ngajat Induk, Ngajat Bebunoh, Ngajat Lesong, Ngajat Semain, Ngajat Berayah, Ngajat ““Ngemai antu pala” .

Ngajat bagi orang-orang Iban ialah tarian semasa menyambut Hari Gawai orang-orang Iban sebelum berperang dan selepas musim menuai. Pada zaman dahulu tarian tersebut ditarikan selepas mereka kembali dari berperang.

Penari akan memakai pakaian tradisi seperti 'sirat', 'gagung' atau baju burung. Penari juga memakai topi yang dihias dengan bulu-bulu burung. Gagung merupakan sejenis baju yang tebal dan keras yang diperbuat daripada kulit haiwan seperti kulit beruang tetapi tidak dijahit kiri dan kanannya.

Tarian ini ditarikan dengan berdiri atas bulatan langsaran ke atas dan ke bawah, penari akan melompat bersama iringan lagu. Setiap rentak yang dimainkan adalah bersesuaian dengan upacaranya. Bagi Gawai Sandau Ari, gendang Rayah dimainkan untuk tetamu kehormat dan orang yang menyambut gawai untuk ber'Rayah' sambil membawa tengkorak musuh.

Satu lagi jenis tarian ini ialah penari akan memegang perisai kayu di tangan kiri dan pedang di tangan kanan lalu menari seperti berdepan dengan musuh dengan menghayunkan badannya ke kiri dan ke kanan. Lagu iringan dibunyikan daripada alat-alat seperti gong besar dan kecil, gendang, tawak, bebendai, engkurumong dan sapeh, iaitu alat bertali seperti gitar.

Bagi penari lelaki atau digelar 'keling', Mereka akan memakai pakaian tradisi seperti 'sirat', 'gagung' atau baju burung dan juga memakai topi yang dihias dengan bulu-bulu burung. Gagung merupakan sejenis baju yang tebal dan keras yang diperbuat daripada kulit haiwan seperti kulit beruang tetapi tidak dijahit kiri dan kanannya. Manakala bagi penari wanita atau digelar sebagai 'kumang' pula, mereka memakai pakaian tradisi seperti pakaian yang berduit syiling, cucuk sanggul dan gelang kaki. Dalam erti kata yang lain kaum wanita dikenakan dengan pakaian “selabai” dan berkain songket.

Datun Julud

Tarian Kenyalang adalah sebuah tarian tradisional suku kaum Kenyah di Sarawak. Tarian ini dicipta oleh seorang putera Kenyah bernama Nyik Selong bagi menggambarkan kegembiraan serta kesyukuran. Pada masa dahulu tarian ini dipersembahkan sewaktu perayaan kemasyarakatan bagi menyambut kepulangan para pahlawan dari berburu, atau sewaktu perayaan tahunan yang menandakan tamatnya musim menuai. Tarian ini diiringi bunyi alat muzik sape dan dipersembahkan oleh seorang penari wanita, menggunakan kipas tangan anggun yang diperbuat daripada bulu burung kenyalang yang melambangkan sayap burung suci tersebut.
Seorang penari solo, seorang wanita berkaki ayam, biasanya bermula tari, bergerak secara spontan dengan gerakan bendalir untuk meniru rangkong dalam penerbangan. Anggun dan perlahan-lahan, penari bergerak lengan, kaki dan dada, berhati-hati untuk menjaga kepalanya tegak dan bergerak sehingga tetap anting-anting - ornamen kuningan berat yang bergelantungan telinga memanjang - dari bergoyang terlalu banyak.

Penari biasanya mengenakan sarung berwarna-warni dan hiasan kepala yang sarat dihiasi dengan menonjol jumbai melambangkan dewa. Untuk mewakili sayap burung enggang, dia memegang peminat indah dibuat dari bulu burung suci. Setelah dia selesai, wanita lain berlangsung, dan ini berlangsung sampai semua wanita di rumah panjang telahpun mengambil giliran. Tarian ini dilakukan oleh satu hingga empat kumpulan perempuan.
Julud Datun sering disertai oleh muzik indah dari sape, kecapi tradisional khas masyarakat Ulu Orang atau "orang-orang hulu" dari Kalimantan. Dua sape , satu tiga-senar, yang lain empat-senar, yang lazim dimainkan bersama-sama untuk tarian. Sambil itu para penari diminta  menyanyi dan bertepuk tangan.

Sumazau

Tarian Sumazau merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun yang sering dipersembahkan pada Tadau Kaamatan yang bermaksud Hari Penuaian yang dirayakan di negeri Sabah pada setiap bulan Mei.

Ilham tarian Sumazau ini adalah daripada corak penerbangan burung helang yang disaksikan petani-petani yang berehat di sawah sewaktu musim menuai. Setiap penari yang menjayakan tarian ini hendaklah bergerak beberapa sentimeter saja daripada penari lain tanpa bersentuhan.

Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian Sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit.

Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini dimainkan dengan iringan paluan gong, biasanya 6 buah gong yang berbagai ukuran dan satu gendang dengan rentak yang khusus. Tempoh dan rentak pukulan gong Sumazau adalah berbeza-beza mengikut daerah dan desa.

Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang dimainkan dengan perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa menyambut hari keramaian dan di majlis jamuan, namun tujuan asal tarian ini ialah untuk menyambut kedatangan "Bambaazon" (semangat padi) yang biasa dilakukan pada selepas menuai padi.

Penari-penari Sumazau yang terdiri daripada kaum lelaki dan perempuan biasanya memakai pakaian serba hitam yang dihiasi dengan corak-corak menarik menggunakan benang berwarna emas. Penari perempuan dihiasi dengan selendang serta talipinggang (tangkong) yang diperbuat daripada duit syiling perak (trade dollars). Penari lelaki biasanya akan memaki tanjak di samping pakaian serba hitam serta menyendang daun silad kering.

Kini tarian Sumazau diadakan dalam banyak majlis keramaian seperti majlis-majlis perkahwinan, majlis-majlis keraian menyambut ketibaan orang-orang kenamaan, di mana ia turut juga ditarikan oleh semua yang hadir dengan tidak mengira suku kaum dan peringkat umur bagi memeriahkan majlis tersebut tanpa memakai pakaian tradisional hitam.


RUJUKAN;

http://www.tourism.gov.my/my/about/culture_music.asp
http://ms.wikipedia.org/wiki/Mak_Yong
http://ms.wikipedia.org/wiki/Tarian_Zapin
http://ms.wikipedia.org/wiki/Tarian_Joget
http://www.dancemalaysia.com/Dance/Traditional/Folk_Dance/Joget/joget.htm
http://ms.wikipedia.org/wiki/Tarian_Lilin
http://carmahlms.com/Info_Muzik/IMarticles/IMtlbds.htm
http://ms.wikipedia.org/wiki/Tarian_singa
http://ms.wikipedia.org/wiki/Tarian_Bharata_Natyam
http://www.daftarwarisan.gov.my/index.php?page=warisan_keb_home&subpage=show_detail&category=2&id=251
http://ms.wikipedia.org/wiki/Tarian_Ngajat
http://nurkhadijahbtehosen.blogspot.com/2010/06/tarian-ngajat.html
http://allmalaysia.info/msiaknow/arts/dance_julud.asp
http://ms.wikipedia.org/wiki/Tarian_Sumazau